Sunday 21 August 2011

Mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah swt pada Malam LailatulQadr..

Tanda rasa syukur pada Ilahi...


Baru-baru ini aku menghadiri kuliah seorang ustaz seawal pagi Sabtu. Tajuknya berkisar tentang malam LailatulQadr. Walaupun tiap2 tahun tajuk ini disentuh beberapa kali tetapi aku merasakan setiap kali setiap penceramah mengulasnya dengan cara yang pelbagai dan berbeza tentang Malam LailatulQadr tersebut membuatkan aku tidak merasa jemu untuk mendengar kata-kata mutiara daripada mereka.


Penceramah memulakan dengan mengucap rasa syukur yang tidak terhingga dan puji-pujian buat Pencipta kita iaitu Allah swt yg telah memberi pelbagai nikmat kepada kita. Bagaimana kita hendak menunjukkan rasa syukur kita terhadap Allah swt? Ustaz menganalogikan seperti seorang ayah memberi RM10 kepada seorang anak. Si Ayah mengharapkan agar si anak tersebut membelanjakan duit tersebut dengan cara yang betul seperti membeli makanan atau buku atau seumpamanya. Tetapi malangnya, si anak tersebut membelanjakan wang tersebut ke arah kejahatan iaitu dengan membeli rokok lalu menghisapnya. Tatkala si Ayah mengetahui perkara tersebut, luluh hati si Ayah tersebut dengan memarahi anaknya. Allah telah memberi bermacam-macam nikmat seperti pancaindera, harta, anak-anak dan lain-lain lagi. Tetapi apabila kita tidak menunaikan segala perintah dan hak-hak Allah maka Allah akan murka pada hamba-hambanya yang tidak mengikut segala perintahNya.Nauzubillah.


Ingatlah nikmat yang tertinggi bagi kita adalah nikmat Iman dan nikmat Islam.


LailatulQadr sebagai Grand Sale untuk kita merebut dan berlumba-lumba ke arah keampunan dan keredhaan Ilahi...





Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. 
Sebab diturunkan ayat tersebut dari Surah Al-Qadr, diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.

Analogi yang diberi ustaz lagi seperti Grand Sale yang ditawarkan oleh suatu shopping complex..katakanlah SOGO shopping complex. Ia menawarkan sehingga 80% diskaun dan ditawarkan pada hari tertentu, malah ditawarkan dengan hadiah-hadiah yang menarik. Mestilah pada adatnya rakyat akan berbondong-bondong pergi ke shopping complex tersebut. Sekiranya kita melihat pada Ganjaran Allah swt tentang Malam LailatulQadr pula, Allah telah menggandakan pahala dan membuka seluas-luas pintu langit bagi hamba-hambanya yang memohon keampunan dan keredhaan Allah swt. Cumanya disini kita tidak dapat melihat ganjaran yang diberi oleh Allah dengan mata kasar hanya keimanan dan keyakinan dalam diri orang-orang yang beriman yang percaya dan yakin akan ganjaran Allah swt. Lalu, mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga dan harta mereka di Jalan Allah swt.

Apa yang perlu diminta pada Malam LailatulQadr?


1. Kisah Aisyah r.a dengan Malam LailatulQadr
Ada satu hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.:
Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagaimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut"
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silaf hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silafku.
Sekiranya kita lihat kembali hadis diatas, Aishah r.a adalah Ummul Mu'minin yang telah dijanjikan Allah syurga. Malah beliau adalah menjadi perujuk sahabat-sahabat Nabi tentang hadis2 Nabi kerana Aisyah r.a adalah diantara yang banyak meriwayatkan hadis kerana beliau adalah salah seorang muslimah yang menjadi pendokong terhadap Rasulullah saw. Tetapi apabila ditanyakan kepada Rasulullah saw tentang apakah perkara yang sepatutnya diminta olehnya sekiranya beliau tahu bilakah Malam LailatulQadr, maka dijawab Baginda saw iaitu keampunan Allah swt.

2. Kisah Rasulullah saw menyuruh Saidina Ali ra dan Saidina Umar ra memohon doa kepada Uwais Al-Qarni  supaya memohon keampunan dari Allah swt :

Pada zaman Nabi Muhammad saw, ada seorang pemuda bernama Uwais Al-Qarni. Ia tinggal di negeri Yaman. Uwais adalah seorang yang terkenal fakir, hidupnya sangat miskin. Uwais Al-Qarni adalah seorang anak yatim. Bapaknya sudah lama meninggal dunia. Ia hidup bersama ibunya yang telah tua lagi lumpuh. Bahkan, mata ibunya telah buta. Ada yang mengatakan Uwais menghidap penyakit sopak yang sangat teruk.

Dalam kehidupannya sehari-hari, Uwais Al-Qarni bekerja mencari nafkah dengan menggembalakan kambing-kambing orang pada waktu siang hari. Upah yang diterimanya cukup buat nafkahnya dengan ibunya.



Uwais Al-Qarni terkenal sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya dan juga taat beribadah. Uwais Al-Qarni seringkali melakukan puasa. Bila malam tiba, dia selalu berdoa, memohon petunjuk kepada Allah. Alangkah sedihnya hati Uwais Al-Qarni setiap melihat tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka telah bertemu dengan Nabi Muhammad, sedang ia sendiri belum pernah berjumpa dengan Rasulullah. Berita tentang Perang Uhud yang menyebabkan Nabi Muhammad mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya, telah juga didengar oleh Uwais Al-Qarni. Segera Uwais Al-Qarni mengetuk giginya dengan batu hingga patah. Hal ini dilakukannya sebagai ungkapan rasa cintanya kepada Nabi Muhammmad saw, sekalipun ia belum pernah bertemu dengan beliau.Hari demi hari berlalu, dan kerinduan Uwais Al-Qarni untuk menemui Nabi saw semakin dalam. Hatinya selalu bertanya-tanya, bilakah ia dapat bertemu Nabi Muhammad saw dan memandang wajah beliau dari dekat? Ia rindu mendengar suara Nabi saw, kerinduannya kerana iman.

Tapi bukankah ia mempunyai seorang ibu yang telah tua uzur dan buta, malah pula lumpuh? Bagaimana mungkin ia terpaksa meninggalkannya dalam keadaan yang demikian? Hatinya selalu gelisah. Siang dan malam fikirannya diliputi perasaan rindu memandang wajah nabi Muhammad saw.

Akhirnya, kerinduan kepada Nabi saw yang selama ini dipendamnya tak dapat ditahannya lagi. Pada suatu hari ia datang mendekati ibunya, mengeluarkan isi hatinya dan mohon izin  ibunya agar ia diperkenankan pergi menemui Rasulullah di Madinah. Ibu Uwais Al-Qarni walaupun telah uzur, merasa terharu dengan ketika mendengar permohonan anaknya. Ia memaklumi perasaan Uwais Al-Qarni seraya berkata, “pergilah wahai Uwais, anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah berjumpa dengan Nabi, segeralah engkau kembali pulang.”

Betapa gembiranya hari Uwais Al-Qarni mendengar ucapan ibunya itu. Segera ia berkemas untuk berangkat. Namun, ia tidak lupa menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkannya, serta berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama ia pergi. Sesudah itu, berangkatlah Uwais Al-Qarni menuju Madinah.


Setelah menempuh perjalanan jauh, akhirnya Uwais Al-Qarni sampai juga di kota madinah. Segera ia mencari rumah nabi Muhammad saw. Setelah ia menemukan rumah Nabi, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam, keluarlah seseorang seraya membalas salamnya. Segera saja Uwais Al-Qarni menanyakan Nabi saw yang ingin dijumpainya. Namun ternyata Nabi tidak berada berada dirumahnya, beliau sedang berada di medan pertempuran. Uwais Al-Qarni hanya dapat bertemu dengan  Aisyah r.a, isteri Nabi saw. Betapa kecewanya hati Uwais. Dari jauh ia datang untuk berjumpa langsung dengan Nabi saw, tetapi Nabi saw tidak dapat dijumpainya.

Dalam hati Uwais Al-Qarni bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi saw dari medan perang. Tapi bilakah Nabi pulang? Sedangkan masih terngiang di telinganya pesan ibunya yang sudah tua, agar ia cepat pulang ke Yaman.

Akhirnya, kerana ketaatannya kepada ibunya, Uwais Al-Qarni pun balik pulang ke Yaman.
Peperangan telah usai dan Nabi saw pulang menuju Madinah. Sesampainya di rumah, Nabi saw menanyakan kepada Siti Aisyah ra tentang orang yang mencarinya. Nabi mengatakan bahwa Uwais Al-Qarni anak yang taat kepada ibunya, adalah penghuni langit. Mendengar perkataan Nabi saw, Aisyah r.a dan para sahabat tertegun. Menurut keterangan  Aisyah r.a, memang benar ada yang mencari Nabi saw dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana  ibunya sudah tua dan sakit sehinggakan  ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama. Nabi Muhammad saw melanjutkan keterangannya tentang Uwais Al-Qarni, penghuni langit itu, kepada para sahabatnya., “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah ia mempunyai tanda putih ditengah talapak tangannya.”

Sesudah itu Nabi saw memandang kepada Ali ra dan Umar ra seraya berkata, “Suatu ketika apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”


Pada suatu hari, ibunya menyampaikan hasrat untuk menunaikan haji dan umrah sebelum ibunya meninggal dunia. Uwais Al-Qarni sangat sedih dengan permintaan ibunya memandangkan beliau adalah seorang yang sangat miskin. Lalu, beliau mengumpulkan duitnya dan membeli seekor anak lembu. Setelah itu, tiap-tiap hari beliau mengangkat anak lembu tersebut dengan mendaki bukit dan menuruni bukit tersebut sehinggakan hampir tiba musim haji. Orang ramai yang berada di sekitarnya merasa pelik dan menganggap perbuatannya adalah gila.

Tahukah sahabat2 apakah sebabnya beliau mengangkat anak lembu tersebut?
 Beliau mengangkat anak lembu tersebut adalah sebagai latihan baginya untuk mengangkat ibunya di belakang badannya untuk pergi meredah padang pasir dan jarak jauhnya beribu-ribu kilometer dari Yaman sehinggalah Makkah Al-Mukarramah. Subhanallah. Sungguh mulianya akhlak Uwais dan disebabkan itulah beliau digelar penghuni langit kerana akhlaknya terhadap ibunya. Beliau sanggup berkorban untuk menggembirakan hati ibunya.

Lalu, sampai di Makkah Al-Mukarramah, ibunya menyatakan hasrat kepada Uwais. “Uwais, engkau sungguh baik dan taat kepada ibu, Ibu mahukan engkau pulih dari penyakit sopak yang engkau alami sejak kecil lagi,” kata Ibu Uwais. Maka jawab Uwais terhadap ibunya, “ Wahai Ibu, aku malu hendak meminta pada Allah kerana Allah telah mengurniakan aku sejak aku lahir lagi, siapakah aku mahu meminta agar diubahnya ciptaan Allah kepadaku. Aku merasakan ini satu ujian bagiku dan aku terima dengan redha.”

Setelah sudah menunaikan haji dan umrah ibu Uwais Al-Qarni pun meninggal dunia. Lalu Khalifah Umar r.a dan khalifah Ali r.a datang menjumpai Uwais Al-Qarni seperti yang disuruh Nabi Muhammad saw ketika baginda masih hidup.

Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, khalifah Umar ra dan Ali ra memberi salam. Tapi rupanya Uwais sedang shalat. Setelah mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais menjawab salam khalifah Umar ra dan Ali ra sambil mendekati kedua sahabat Nabi saw ini dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Sewaktu berjabatan, Khalifah Umar ra dengan segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais, seperti yang pernah dikatakan oleh Nabi saw. Memang benar! Tampaklah tanda putih di telapak tangan Uwais Al-Qarni. Lalu, mereka berdua menyatakan hajatnya iaitu istighfar dan keampunan melalui doa Uwais al Qarni kepada Allah swt. Sungguh tinggi darjat Uwais al-Qarni di sisi Allah walaupun ia seorang miskin dan tidak dikenali oleh masyarakat di sekitarnya.



Kesimpulan daripada dua cerita ini adalah untuk kita selalu memohon keampunan dari Allah swt dan selalu beristighfar menginsafi atas segala perbuatan yang kita lakukan sepanjang hidup kita.

Antara istighfar yang kita boleh amalkan iaitu sayyidul istighfar:



Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw ketika 10 malam terakhir?

Secara ringkasnya dari mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a iaitu :
1. Menghidupkan malam dengan qiamulail dan beribadah pada Allah swt
2. Mengejutkan ahli keluarganya agar turut serta menghidupkan malam2 ramadhan
3. Mengikat kainnya iaitu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan tidak menggauli isteri-isterinya.

Moga2 Allah memberi kita petunjuk dan hidayahNya pada kita semua dan peluang kepada kita untuk menghidupkan malam Lailatulqadr..

Wallahua'lam.


Friday 19 August 2011

Berjinak-jinak dalam penulisan blog, permulaan catatanku..

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين

 Alhamdulillah syukur pada Ilahi yg menciptakanku dengan penuh sempurna tanpa cacat cela. Terasa diri ini sungguh rendah dan dhaif untuk memulakan coretan tulisan di blog yg baru seminggu jagung ini. Sebelum ini, memang di dalam hati teringin hendak berjinak di dalam dunia blog ini cumanya, tidak diberi kekuatan untuk menulis dan masa yang begitu pantas dengan kesibukan harian. Lebih-lebih lagi sebelum ini aku suka membaca tulisan blog2 yang memberi semangat pada diri yang mudah tersungkur dalam kelalaian. Syukur pada Allah kerana menemukan aku keluarga, saudara mara, guru-guru, sahabat2 yang baik-baik serta sentiasa mencari redha Ilahi. 

Hobi Membaca Blog yang Membina..

Baru-baru ini aku diperkenalkan dengan seorang cikgu pada rakanku yg sedang menuntut di PPUKM. Beliau adalah Cikgu Noraidah. Permulaan taarufku dgn Cikgu Noraidah apabila aku selalu membaca komen-komen membina di 'wall facebook' rakanku. Aku suka mendengar nasihatnya dan menjadi hatiku gembira dan tenang tatkala membaca segala komen-komennya. Setelah itu, aku diperkenalkan dengan blognya iaitu 'MENITI KEHIDUPAN'..
Kata-kata serta nasihat-nasihatnya yang dilemparkan melalui penulisannya sungguh terkesan di hati kecil ini. Seringkali dia mengingatkan dirinya agar merefleksi diri kita, Aku suka dengan kata-katanya, " Selalu cikgu pesan dengan anak-anak dan para pelajar cikgu,"Ingat, kesan daripada ibadah kita adalah akhlak kita. Kalau akhlak kita tak baik, itu bermakna ibadah kita tidak membawa 'makna' dan 'terkesan' di dalam diri. Kena muhasabah diri dan buat refleksi diri. Ada yang tak kena tu.." 
Kata-katanya sama seperti cikguku semasa menuntut di SAMBEST dulu. Cikgu yang dimaksudkan Cikgu Zamilah dan Ustazah Rosfa. Dua orang pendidik ini sangat bermakna dalam nota hidupku semasa bergelar pelajar sekolah menengah. InsyaAllah aku tidak akan melupakan saat-saat manis ketika dapat berdamping belajar dengan mereka. Malah, mereka selalu memberi semangat dan nasihat-nasihat yang membina bagiku.

Kesan blog membina pada diri kita dan orang lain... 

Setiap kali aku membaca blog orang di sekitarku aku merasakan ia memberi semangat motivasi padaku. Aku merasakan betapa besarnya pahala mereka menyebarkan da'wah mereka melalui blog-blog mereka dengan sekadar menulis sahaja.Yang paling penting refleksi diri setiap apa yang kita tulis seperti insan-insan yang aku sebutkan sebelum ini. Mereka menulis melalui jiwa mereka kerana mereka mengamalkan apa yang ditutur oleh mereka.

Aku cuba sedaya upaya untuk menjadi seperti mereka dan menjadi lebih baik daripada sebelum-sebelum ni.Moga2 Allah memberi petunjuk padaku sepertimana orang-orang beriman sebelum ini.

Aku cuba ingin menjadi seperti Imam Hassan Al-Basri dimana setiap kali beliau menuturkan sesuatu pada khalayak ramai ketika khutbah Jumaat, beliau akan melakukan terlebih dahulu. Hasilnya?? Selesai memberi khutbah, berbondong-bondong orang melakukan apa yang dituturkan olehnya. 

Aku mengambil satu peristiwa di mana suatu hari jumaat  beliau menyampaikan khutbah tentang bersedekah pada fakir miskin, lalu, selepas itu semua orang menginfakkan harta pada orang-orang miskin sampai tidak ada suatu pun menjadi papa kedana di negerinya. Sampailah satu masa ade seorang hamba abdi datang kepadanya supaya menyuruh Imam Hassan Al-Basri memberi tajuk khutbah 'memerdekakan hamba abdi'. Lalu, hamba abdi tersebut menunggu-nunggu tajuk khutbah yang dimintanya. Tetapi Imam Hassan tidak menyentuh bab memerdekakan hamba abdi. Sehinggalah setahun kemudian barulah beliau menyentuh bab memerdekakan hamba abdi..Apabila ditanyakan kenapa sangat lama tempoh permintaan hamba tersebut kepada beliau, lalu beliau menjawab, " Aku tidak mempunyai wang untuk memerdekakan hamba abdi sebelum aku hendak menyampaikan khutbah tersebut sehinggalah aku mengumpul duit selama setahun barulah aku mampu untuk memerdekakan seorang hamba. Selepas khutbah jumaat bertajuk memerdekakan hamba abdi, ramai orang membeli hamba-hamba abdi dan memerdekakan hamba-hamba abdi tersebut. Subhanallah mulianya akhlak Imam Hassan al-Basri. Moga-moga kita semua boleh menjadi seperti beliau. InsyaAllah.
 
Sekiranya ada salah silap dalam menutur bicara mohon dimaafi dan semua yang baik datang dari Rahmat Allah swt.

Tidak lupa juga terima kasih pada rakanku, Fakhri atas tunjuk ajar untuk memulakan blogku ini...

Moga2 kita mendapat ampunan dan redha Ilahi pada 10 malam ramadhan terakhir.InsyaAllah.

Banyakkan berzikir dan istighfar pada bulan Ramadhan ini. 
Sabda Nabi saw:

اللهم انك عفو  كريم تحب العفو فاعف عنا

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Yang Memberi Ampun dan Engkaulah suka memberi ampun, kerana itulah ampunilah kami, wahai Dzat yang Maha Pemurah. (HR Tirmidzi)

Wallahua'lam.