Wednesday, 21 September 2011

Pengorbanan suatu kepahitan tetapi memberi penawar bagi siapa yg melakukannya..

Assalamualaikum warahmatullah wbt..

      Alhamdulillah syukur pada Allah Tuhan Sekalian Alam yg telah memberi ni’mat utk terus hidup di muka bumiNya. Sudah 2 minggu kami semua melalui sesi Final Year ( Tahun 5) berlalu. Baru-baru ini aku mengalami  kerugian yang banyak disebabkan bridge yang sepatutnya aku pasang pada gigi patient gagal. Satu kata yang membuatkan hati aku terasa luluh bila disuruh membuat bridge yang baru kerana bridge yang lama gagal dipasang. Aku terpaksa mengeluarkan duit lagi lebih kurang empat ratus untuk membuat bridge yang baru. Sudah lapan ratus ringgit aku keluarkan untuk memenuhi requirement bridge. Peristiwa itu membuatkan aku terkadang terasa putus asa. Tetapi dengan nasihat dari ibu bapaku  yg terus memberi semangat dan dorongan padaku, Alhamdulillah aku cuba untuk menempuhnya. Dengan zikir yang diajar oleh pensyarahku di UM membuatkan hatiku menjadi tenang kembali. Betul kata Dr Pauzi Awang, zikir ini seperti madu, dan manis madu tersebut hanya dapat dirasa jika kita merasanya sendiri.

    Aku merasakan pada tahun akhir ini banyak pengorbanan perlu aku lakukan malah aku rasakan hampir keseluruhan rakanku yang lain juga perlu berkorban wang dan tenaga semata-mata untuk menyelesaikan requirement yang perlu kami penuhi. Sekiranya tidak dipenuhi, kami bakal menambah setahun lagi untuk kami bergraduasi kelak. Moga-moga semuanya dapat bergraduasi pada tahun hadapan.InsyaAllah.

    Tapi aku dapat rasakan bukanlah kami merawat pesakit semata-mata untuk memenuhi requirement tetapi untuk mendapat  redha Allah swt atas semua pengorbanan yang telah dicurah. Moga-moga Allah menilainya sebagai ibadah dan amal kami di akhirat kelak. Ameen Ya Rabb.

     Sepotong hadith yang berbunyi “ Ahlu Dutsuur alladziina dzahabuu bil ujuur.” Bermaksud Orang-orang yang berharta yang pergi membawa pahala. Mereka itu adalah para pekerja yang baik, usaha yang disyukuri, perdagangan yang tidak akan merugi. Merekalah orang-orang yang membangun masjid di mana setiap orang melakukan ruku’ dan sujud. Memberikan makan kepada faqir dan miskin, memberi keringanan pada mereka yang memerlukan. Menanggung hidup anak yatim. Mereka menghimpunkan kebaikan setiap waktu.

    InsyaAllah dengan apa yang kita lakukan dalam merawat pesakit dengan hati yang ikhlas akan membuahkan pahala dan redha Ilahi.

    Ketahuilah orang yang sikit memberi itu buruk sikapnya. Sedangkan orang yang gemar memberi itu banyak balasannya. Syaratnya kita mesti yakin atas janji Allah di akhirat kelak.

      Seperkara lagi, menjadi 1st batch bukanlah senang seperti disangka kebanyakan orang. Banyak dugaan yang terpaksa kami lalui, bukan pada awal kemasukan Tahun Pertama kami menjejakkan kaki di bumi USIM ini, tetapi setiap masa yang kami lalui. Pada awal Tahun Clinical, untuk mencari patient bukanlah perkara yang mudah, kami terpaksa menebalkan muka bertanyakan pada sesiapa orang yang dikenali atau tidak dikenali untuk menjadi patient kami. Sesi clinic kami sering kosong tiada patient yang hadir membuatkan pada Tahun Akhir ini kami terpaksa mengejar requirement untuk mengambil exam Final kelak. Kami sering dimarahi lecturer kerana tiada patient yang datang. Tetapi Alhamdulillah aku dikurniakan rakan-rakan sekuliah yang memahami kondisi kami semua. Kami selalu merefleksi dan mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki kondisi kami agar semua daripada kami dapat grad pada masa yang ditetapkan. 

    Moga-moga Allah permudahkan aku untuk menempuh Final Exam pengajian Usuluddin di UM minggu hadapan dan boleh menyebarkan ilmu yang diperoleh.InsyaAllah.
 Terasa rindu untuk meninggalkan ‘taman-taman syurga’ di Akademi Pengajian Islam UM. Moga2 Allah memberi kesempatan untuk aku terus mendalami ilmu agama.Ameen Ya Rabb.
Wallahua'lam.
                                                                                                                                

Wednesday, 7 September 2011

Nasihat untuk Sang Pendosa dan katakanlah: Kami Bersalah dan Kami Bertaubat..

Assalamualaikum warahmatullah..

Marilah sama2 kita mengucapkan syukur pada Ilahi dengan limpah kurnia Nya kita dapat menghirup udaranya dan masih bernafas untuk menyembah dan sujud pada Yang Maha Esa. Sembahlah Allah, tidak ada Tuhan untuk kalian kecuali Dia. Siapa pun yang menyembahNya, maka Allah akan menjadi Penolong dan Memenangkannya.

Wahai pelaku dosa dan maksiat..
Datanglah dan berharaplah...
Wahai yang merasa tersayat luka oleh dosa-dosa..
Datanglah, pintu ini terbuka. Kedermawanan selalu datang..

Siapakah daripada kita yang tak pernah salah? Siapakah gerangan manusia yang hanya melakukan kebaikan? Siapakah manusia yang tak pernah meleset jatuh? Wahai pelaku banyak kesalahan, lupakah engkau, bahawa semua manusia memang pelaku kesalahan. Berapa kali ? Padahal engkau mendengar hadith Nabi saw, "Demi Zat yang diriku ada dalam TanganNya, andai kalian tidak berdosa, nescaya Allah akan melenyapkan kalian..."

Maka, jika engkau berdosa, Bertaubatlah dan menyesallah. Tinggalkanlah segala kesalahan yang engkau lakukan. Kembalilah kepada Allah.

Wajah-wajah orang yang bertaubat akan cemerlang berkilauan. Saat mereka mendengar panggilan Rabb Penguasa Alam. "Andai engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi, nescaya Aku akan menemuimu dengan ampunan seluas langit dan bumi." Maka, sungkurkan dirimu di depan pintuNya. Tadahkanlah tanganmu lalu katakan lah, "Wahai Pemberi Ampunan, ampunkanlah segala dosa-dosa ku yang telah aku lakukan padaMu, Kasih sayangMu aku harapkan wahai Rabb Pemilik Semesta.."

Wahai sang pendosa, Ketahuilah bahawa titisan air mata penyesalan, mampu melenyapkan keterpelesetan kakimu dalam dosa. Ketahuilah, engkau berhubungan dengan Yang Maha Penerima Taubat. Yang membuka pintu kembali yang sangat luas di hadapan para pendurjana. Yang menurunkan kitabNya dengan keluasan maaf. Yang kasih sayangNya melebihi kemurkaanNya.



Tidakkah engkau tahu, taubat dari dosa itu mampu melenyapkan kesombongan yang meninggi? Istighfar mampu menyebabkan hancurnya keangkuhan.

Aku tersentuh akhlak yang dipamerkan seorang non muslim lebih setengah abad tahun umurnya di sebuah pasaraya tempat aku membeli barang-barang keperluan, bicaranya penuh dengan kata-kata 'terima kasih' dan 'minta maaf' sambil tersenyum mesra pada pekerja pasaraya itu. Dalam fikiranku indah sungguh akhlaknya, doaku pohonkan mungkin satu hari nanti hidayah Allah akan menyinarinya dan keluarganya dengan akhlak mulianya. Semacam tepat kata pepatah, "Bapa borek anak rintik". Aku lihat anaknya sebegitu rupa memiliki akhlak yang sama dengan ibunya yang tak lekang dengan ucap terima kasih pada pekerja lain. Sungguh rendah dirinya terhadap manusia lain. Ia mengaku salah tatkala melakukan kesilapan. Aku berasa insaf dan syukur pada Allah kerana menunjukkan perkara kebaikan padaku untuk aku turut serta meraih redha Ilahi.InsyaAllah.

Berbahagialah orang yang mengaku kesalahan walaupun ia pahit seperti ubat. Tetapi dengan kepahitan tersebut akan menyembuhkan segala macam penyakit dengan izin Rabb Pencipta Alam Semesta. Ingatlah, mengakui kesalahan adalah sifat kemuliaan.

Berhentilah di depan pintu, katakanlah : "Kami telah bersalah." Katakanlah : " Kami taubat." Angkatlah tanganmu dan katakanlah : "Kami kembali."
" Tidakkah mereka bertaubat kepada Allah lalu Allah mengampuni dosa mereka. Dan Allah Penerima Taubat dan Maha Kasih Sayang." (Al-Maidah :74)
Maha Suci Allah Yang Maha Menerima Taubat orang yang bertaubat.
Taubat itu menghapus apapun yang sebelumnya. Berkata Rasulullah saw, "At Taa-ib minadz dzanbi kaman laa dzanba lahu". Sungguh, orang yang bertaubat dari dosa, sama dengan orang yang tidak mempunyai dosa. Selamatlah  kepada yang bertaubat yang mana cepat kembali kepada Tuhan, yang menitikkan air mata, yang tak berdaya di hadapan Rabb Manusia.



Sesungguhnya orang yang bertaubat memiliki dua kebahagiaan, dua air mata dan dua senyuman..
Kebahagiaan tatkala meninggalkan dosa. Dan kebahagiaan saat bertemu Rabbnya.
Air mata yang menitik saat mengingati masa lalu. Dan air mata yang menitik saat mengingat bagaimana umurnya telah terbuang sia-sia.
Senyuman saat mengingat kurnia Allah swt  yang menjadikannya bertaubat, dan itu adalah nikmat yang tak ada bandingnya. Dan senyuman tatkala dia merasakan dosa telah meninggalkan dirinya.

Taubat akan membuahkan pertolongan. Ia akan mengerti bagaimana hakikat perlindungan. Kerana ia memahami rahsia ubudiyyah iaitu perhambaannya pada Rabbi.

Orang yang kembali pada Ilahi akan berfikir tentang kekurangan dirinya. Menghindarkan segala yang menipu kemegahannya. Ketahuilah, menghina diri kerana kekurangan, memandang diri dengan pandangan rendah dihadapan kebesaran Allah, tidak meredhai apa yang dilakukan oleh hawa nafsu akan memunculkan sikap lembut dan kritis.



Jangan kalian katakan, kini kami masih muda remaja. Berapa banyak pedang yang tumpul dan petarung yang tersungkur. Hingga datang kebinasaan yang sehinggakan melempar ke dalam kuburmu sendiri.
Ingatlah malam pertama di dalam kubur. Tidak ada Tuhan kecuali Allah, betapa dahsyatnya permasalahan di saat itu. Malam tanpa teman dan tiada pendamping. Menggoncangkan hati. Kekuatan yang begitu menusuk. Tanpa kawan, tanpa teman. Kalian telah ditinggal sendirian oleh mereka yang dicintai dan semua sahabat.



Tambatlah hati dengan istighfar. Kerana hati telah terkoyak oleh tangan-tangan dosa besar. Cucilah hati dengan air mata dari debu-debu dosa. Kembalilah pada Yang Mengetahui Hati. Bersikap baik dengan semua makhluk. Sucikan hati dari dendam. Peganglah Al-Quran dan As-Sunnah. Berlarilah dari fitnah. Pasti kalian dapatkan pertolonganNya di saat ujian.

Semulia-mulia mahkota, adalah mahkota agama. Semulia-mulia pakaian adalah pakaian yang melindungi. Kejujuran dan amanah. Pakaian riya adalah pakaian yang rapuh. Selendang kesombongan adalah selendang yang mudah terkoyak. Mengerjakan sunnah, adalah jalan menuju jannah. Menemani para pelaku kejahatan dan pelaku dosa, selalu membawa kerugian dan penyesalan.

Semua pakaian akan lusuh kecuali pakaian taqwa. Barangsiapa yang di dunianya celaka kerana melawan Tuhannya, maka di akhiratnya ia akan lebih sengsara dan celaka. Tertawanlah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya. Terhinalah orang yang melawan Tuhannya. Nauzubilllah.

Dan beruntunglah orang yang kembali kepada Tuhannya dengan hati yang suci bersih yang dilimpahi cahaya nur keimanan dan ketaqwaan pada Rabb.

Lagu Hijab oleh Mawi..(link to youtube)


Izinkan aku memohon keampunanMu
Bersimpuh di alam latifMu
Oh tuhan perkenankan nasuhaku
Ku bersyukur Engkau masih memberiku
Pinjaman nyawaMu lalu dapat aku kembali padaMu
Sekilas pandangan engkau tunjukkan
Membahang dengan ganas api nyalaan
Air yang bertitisan hanya mata ini menyaksikan

Nama tinggi terpuji
Segalanya pasti
Ya rahmanu ya rahim
Ya fattahu ya alim
Tuhan aku kembali dengan kefakiran kehambaan


Awal tiada bermula
Akhir tak bersudah
Zahir tidak terasa
Batin tidak bertepi
Ku hadapkan wajah yang bernoda ini
Dengan tunduk kepadaMu
Untuk cari rahmat sepanjang zaman
Engkau padamkan segala kehendak kalbu
Supaya tiada lagi kehendak kecuali diriMu


Awal tiada bermula
Akhir tak bersudah
Zahir tidak terasa
Batin tidak bertepi


Moga2 peringatan ini tersemat di dalam hatiku yang bergelar sebagai "Sang Pendosa" dan dapat kembali kepada Rabb Pencipta Alam Semesta ini.
Wallahua'lam.

Monday, 5 September 2011

Azam Baru selepas Ramadhan, dan permulaan untuk Tahun Akhir sbg seorang dental student..

                        Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang 


Assalamualaikum warahmatullah wbt,


Salam eidul fitri kepada seluruh saudara mara, rakan taulan dan seluruh umat muslimin dan muslimat..moga2 kita semua kembali kepada alam fitrah yang selalu diucapkan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu, MINAL 'AIDEEN WAL FAIEZIN yang bermaksud orang yang kembali kepada fitrah dan yg berjaya meletakkan diri mereka dlm keadaan fitrah yg suci. Moga2 kita semua tergolong dalam kumpulan ini, AIDEEN WAL FAIEZIN..insyaAllah.ameen.


Azam Baru...


Setiap orang pasti ada azam baru masing-masing untuk memperbaharui hidup mereka kepada yang lebih baik. Walaupun azam yang lepas ada yang tidak tertunai tapi ingatlah kita hanya merancang dan Allah Menentukan segalanya. Hanya semangat, doa dan tawakkal yang menjadi pendorong kita untuk menunaikan azam kita. Tujuanku untuk menulis entry ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk azam baruku tetapi sebagai peringatan pada diriku untuk aku sematkan dalam lubuk hati ini supaya aku dapat istiqamah dan menunaikan azam baruku.insyaAllah. Mohon Doa kalian semua agar diberi kekuatan dan istiqamah dalam amal kebaikan.


Hadith from Prophet Muhammad PBUH :
The Doa that will be answered most quickly is the doa of one in private for another who is not present.
                                                                                                                               (HR Tirmidhi)


Baru-baru ini aku telah menelaah sebuah buku yang aku rasakan ia banyak memberi semangat dan motivasi. Bukunya bertajuk 'Berteduhlah di Taman Hati', tulisan Dr Aidh Al-Qarni. Tengok sahaja muka depan nya dengan gambar pohonan yang meneduhkan di bawah awan yang biru dan  menenangkan hati bila menatapnya membuatkan aku untuk menyelak buku tersebut. Aku tertarik dengan kata2 ulama ini pada mukaddimah buku. 






"Penghormatan kepada para pemilik semangat tinggi. Mereka bahagian suci dari manusia. Mereka kelompok mulia dan terhormat. Ruh mereka terbang ke sudut-sudut yang tinggi. Mereka ada dalam tangga-tangga abadi. Barangsiapa yang ingin ketinggian, semua yang memberatkan akan menjadi ringan. Nas-nas wahyu menyerumu. Bersegeralah jangan abai. Bersegeralah jangan berdiam. Umayyah bin Khalaf, ketika ia duduk bersama orang yang tidak berangkat berjihad, ia tahu dirinya merugi. Saat Bilal bin Rabah mendengarkan "Hayya alal falaah", mari capai kemenangan, ia pun segera bangkit dan menjadi tokoh pengukir kemenangan. Dan penulis mengumpamakan banyak lagi sahabat2 Rasulullah saw hatta Rasulullah saw sendiri dalam mengukir kemenangan.
Penulis menyambung...
Wahai yang terbelenggu oleh nyanyian, keluarlah dari mimpi2. Bersihkanlah debu kekotoran dari tubuhmu. Tinggalkanlah yang menghalangimu. Semua yang menempuh perjalanan akan sampai pada tujuan. Apakah engkau lupa terhadap ayat2 Allah? Mengapakah engkau tunda solatmu? Apakah engkau bunag usiamu dengan kesia-siaan? Lalu engkau ingin masuk syurga?
Demi Allah, semut yang kenyang mendapatkan makanan setelah serius mencari makanan. Singa akan berjuang keras, jatuh bangun untuk menerkam mangsanya. Burung-burung membangun sendiri tempat tinggalnya. Engkau mempunyai kesempatan, Rasulullah saw bersabda, "Peliharalah apa yang berguna bagimu". Itu kerana yang bermanfaat itu akan meninggikanmu. "Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah."
Pemilik semangat akan berlumba mendahului orang lain, mencapai ketinggian." Wassabiquuna saabiquun, ulaikal muqarrabun." Dan orang-orang yang lebih dahulu, merekalah orang-orang yang dekat dengan Allah.


Moga2 dengan kata semangat ini dapat menyedarkan kita daripada kesenangan dunia..insyaAllah.


Apa azam baruku sempena permulaanku melangkah ke Tahun Akhir Pergigian yang penuh cabaran dan dugaan?


Pertama-tamanya ahlan wasahlan untuk rakan-rakanku sekuliah ke Tahun Akhir. Sama2 kita titipkan doa supaya segala urusan dan pembelajaran kita dipermudahkan oleh Allah swt.ameen.




Memang dalam hatiku ini penuh dengan debaran dan kegelisahan untuk melangkah masuk tahun akhir ini memandangkan banyak requirement tidak dipenuhi. Tetapi aku berazam untuk tidak putus asa dan mudah down lagi2 di saat2 perasaan malas muncul dalam diriku dan dugaan yang menimpa tanpa diduga. Lebih-lebih lagi baru-baru ini nama2 partner clinic masing2 telah dikeluarkan. Alhamdulillah aku dapat partner clinic baru yg sporting dan  memang baik denganku, Hadid dan seorang lagi Nisreen.  Lepas beberapa hari senarai nama dikeluarkan, rakanku Hadid terus mengajak aku berbincang tentang schedule clinic. Moga2 aku  dapat bekerja dengan partner clinic baruku dengan kerjasama yg kuat dan saling tolong menolong antara satu sama lain. InsyaAllah.


Terima kasih tidak dilupakan kepada partner clinic lama, Sabrina yang banyak memberi support dan membantuku dalam menguruskan patient2ku. 


Aku berharap juga pada tahun akhir ini dapat menggarap sebanyak mana pengetahuan daripada lecturer2 dan rakan2 untuk menjadi bekalanku semasa menjadi First Year Dental Officer atau dikenali sebagai FYDO. Dan aku juga berharap dapat menelaah buku2 yang dijadikan 'pameran' di rumahku lebih-lebih lagi Buku2 Dental Subject yang menimbun2 di rumahku.


Kalau ikutkan memang banyak list azamku tahun baru ini. Cuma ini sahaja yang aku sempat untuk kongsikan sebagai pembakar semangat dalam diriku.


Pengakhiran studiku di Akademi Pengajian Islam, UM sebagai seorang pelajar Sijil Pengajian Usuluddin (PJJ)..


Alhamdulillah syukur pada Allah yang telah memberi kesempatan pada diriku lebih setahun  untuk menelaah Pengajian Usuluddin ini. Memang difikirkan agak berat bagiku untuk menguruskan masa antara studi di USIM dan di UM. Tetapi alhamdulillah Allah bagi kekuatan pada diriku untuk menghabiskan modul pengajian ini. Kira-kira lagi 2 minggu kelas terakhir iaitu subjek Falsafah Islam sebelum aku menduduki exam final.


Banyak ilmu yang aku peroleh dalam mengikuti pengajian ini. Suasananya yang berlainan iaitu mereka aktif dalam setiap kuliah yang diberi oleh lecturer2 jemputan.  Mereka sering bertanyakan soalan2 pada lecturer mengajar sejak dari awal kelas hinggalah di akhir kelas. Kupasan2 menarik oleh lecturer2 membuatkan aku tertarik dan berasa beruntung dapat menelaah ilmu agama dengan mereka.


Pada saat aku mengambil bidang usuluddin ini, aku sering tertanya-tanya apakah usuluddin itu sebenarnya dan skop pengajiannya. Setelah setahun belajar tentangnya barulah aku mengetahui bahawa Usuluddin ini adalah ilmu berkaitan dengan Akidah, Ihsan dalam erti kata lain Tasawwuf, Tafsir Al-Quran, Ulum Hadith, Falsafah dan Pemikiran Islam, Perbandingan Agama dan Sirah Rasulullah saw. Sebenarnya ada banyak lagi yg dikupas dalam pengajian ini tetapi pokok pangkalnya aku dapat simpulkan dengan mempelajari ilmu usuluddin, kita akan lebih mengenal Allah, Pencipta kita dan mengenal diri kita. 


 Yang paling bererti pada diriku apabila mempelajari ilmu tasawwuf, ia banyak memberi kesedaran padaku sebagai seorang hamba Allah yang kerdil. Banyak amalan yang diajarkan kepadaku semasa kelas tasawwuf ini antaranya zikir Lailahaillallah sebanyak 100 ribu kali (insyaAllah nescaya dijauhkan dari api neraka), istighfar sebanyak 70x setiap hari dan membaca Basmalah sebanyak 21x sebelum tidur (InsyaAllah tidak diganggu oleh syaitan, musibah dan lain2 lagi). Selain itu amalan solat sunat rawatib subuh dengan membaca surah An-Nasyr pd rakaat pertama dan surah Al-Fiil pada rakaat kedua ( InsyaAllah kita akan dikurniakan kesihatan fizikal dan mental). 


Antara kata-kata lecturerku yang aku tak dapat lupakan, 'Zikir ini seperti madu, hanya orang yang merasai madu tersebut dapat mengetahui manisnya madu tersebut'.
    
Aku berasa tenang setiap kali menghadiri kelas2 pengajian di UM ini dan seperti dicas bateri untuk menaikkan kembali semangat untuk beribadah pada Allah swt. Moga Allah permudahkan exam final pada akhir bulan 9 ini dan dapat menyampaikan dan mengamalkan segala ilmu yg diperoleh.InsyaAllah.


Menghafal Kaedah Jibril..


Sejak dari First Year lagi aku teringin menghafal beberapa juzu' Al-Quran dan mengekalkanya dalam ingatanku tetapi ia tidak kesampaian. Mana tidaknya setelah hafal beberapa juzu', beberapa bulan kemudiannya, ia hilang begitu sahaja. Astaghfirullah.Tetapi tahun baru ini aku cuba untuk mengulang balik juzu' yang pernah dihafal dan aku mendapat inspirasi dan semangat untuk kembali mengulang apabila membaca Buku 'Menghafal Kaedah Jibril' tulisan Ustaz Mohammad Asraff Al-Hafiz b. Ayob. 




Buku ini telah mengenengahkan cara yang menghafal secara berkesan. InsyaAllah.
Malah sekiranya kita mempunyai niat dan azam untuk menjadi seorang hafiz Quran, insyaAllah penulis menunjukkan kaedah yang sesuai bagi kita yang sibuk dengan kerja.
Penulis mengingatkan dan menyuntik semangat bagi permulaan hafazan Quran dengan mengingatkan para penghafaz Quran ini adalah wakil Allah "AHLULLAH". Tidakkah teringin kita menjadi kerabat Allah?


Dalam Hadith Nabi saw:
Anas melaporkan, katanya, "Rasulullah berkata, 'Sesunggunhnya Allah memiliki kerabat dalam kalangan manusia.' Sahabat bertanya, 'Siapakah mereka, Rasulullah?" Rasulullah menjawab,' Mereka adalah ahli al-Quran, mereka kerabat Allah dan orang pilihanNya."
                                                                    ( Direkodkan oleh Ibnu Majah)


MasyaAllah sungguh istimewa orang2 yang menghafaz quran ini, moga2 Allah memberi kita penunjuk dan jalan untuk menghafaz kalam WahyuNya..ameen.


Akhir kalam, sama2 kita menunaikan puasa 6 di bulan Syawal kerana ganjarannya yang begitu besar dan mengharap redha Ilahi.


Hadith Nabi saw:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Muslim dan lainnya)




Mohon Maaf atas tersilap bicara dan moga2 Allah merahmati kita semua..ameen ya Rabb.
Wallahua'lam.



Sunday, 21 August 2011

Mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah swt pada Malam LailatulQadr..

Tanda rasa syukur pada Ilahi...


Baru-baru ini aku menghadiri kuliah seorang ustaz seawal pagi Sabtu. Tajuknya berkisar tentang malam LailatulQadr. Walaupun tiap2 tahun tajuk ini disentuh beberapa kali tetapi aku merasakan setiap kali setiap penceramah mengulasnya dengan cara yang pelbagai dan berbeza tentang Malam LailatulQadr tersebut membuatkan aku tidak merasa jemu untuk mendengar kata-kata mutiara daripada mereka.


Penceramah memulakan dengan mengucap rasa syukur yang tidak terhingga dan puji-pujian buat Pencipta kita iaitu Allah swt yg telah memberi pelbagai nikmat kepada kita. Bagaimana kita hendak menunjukkan rasa syukur kita terhadap Allah swt? Ustaz menganalogikan seperti seorang ayah memberi RM10 kepada seorang anak. Si Ayah mengharapkan agar si anak tersebut membelanjakan duit tersebut dengan cara yang betul seperti membeli makanan atau buku atau seumpamanya. Tetapi malangnya, si anak tersebut membelanjakan wang tersebut ke arah kejahatan iaitu dengan membeli rokok lalu menghisapnya. Tatkala si Ayah mengetahui perkara tersebut, luluh hati si Ayah tersebut dengan memarahi anaknya. Allah telah memberi bermacam-macam nikmat seperti pancaindera, harta, anak-anak dan lain-lain lagi. Tetapi apabila kita tidak menunaikan segala perintah dan hak-hak Allah maka Allah akan murka pada hamba-hambanya yang tidak mengikut segala perintahNya.Nauzubillah.


Ingatlah nikmat yang tertinggi bagi kita adalah nikmat Iman dan nikmat Islam.


LailatulQadr sebagai Grand Sale untuk kita merebut dan berlumba-lumba ke arah keampunan dan keredhaan Ilahi...





Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. 
Sebab diturunkan ayat tersebut dari Surah Al-Qadr, diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.

Analogi yang diberi ustaz lagi seperti Grand Sale yang ditawarkan oleh suatu shopping complex..katakanlah SOGO shopping complex. Ia menawarkan sehingga 80% diskaun dan ditawarkan pada hari tertentu, malah ditawarkan dengan hadiah-hadiah yang menarik. Mestilah pada adatnya rakyat akan berbondong-bondong pergi ke shopping complex tersebut. Sekiranya kita melihat pada Ganjaran Allah swt tentang Malam LailatulQadr pula, Allah telah menggandakan pahala dan membuka seluas-luas pintu langit bagi hamba-hambanya yang memohon keampunan dan keredhaan Allah swt. Cumanya disini kita tidak dapat melihat ganjaran yang diberi oleh Allah dengan mata kasar hanya keimanan dan keyakinan dalam diri orang-orang yang beriman yang percaya dan yakin akan ganjaran Allah swt. Lalu, mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga dan harta mereka di Jalan Allah swt.

Apa yang perlu diminta pada Malam LailatulQadr?


1. Kisah Aisyah r.a dengan Malam LailatulQadr
Ada satu hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.:
Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagaimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut"
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silaf hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silafku.
Sekiranya kita lihat kembali hadis diatas, Aishah r.a adalah Ummul Mu'minin yang telah dijanjikan Allah syurga. Malah beliau adalah menjadi perujuk sahabat-sahabat Nabi tentang hadis2 Nabi kerana Aisyah r.a adalah diantara yang banyak meriwayatkan hadis kerana beliau adalah salah seorang muslimah yang menjadi pendokong terhadap Rasulullah saw. Tetapi apabila ditanyakan kepada Rasulullah saw tentang apakah perkara yang sepatutnya diminta olehnya sekiranya beliau tahu bilakah Malam LailatulQadr, maka dijawab Baginda saw iaitu keampunan Allah swt.

2. Kisah Rasulullah saw menyuruh Saidina Ali ra dan Saidina Umar ra memohon doa kepada Uwais Al-Qarni  supaya memohon keampunan dari Allah swt :

Pada zaman Nabi Muhammad saw, ada seorang pemuda bernama Uwais Al-Qarni. Ia tinggal di negeri Yaman. Uwais adalah seorang yang terkenal fakir, hidupnya sangat miskin. Uwais Al-Qarni adalah seorang anak yatim. Bapaknya sudah lama meninggal dunia. Ia hidup bersama ibunya yang telah tua lagi lumpuh. Bahkan, mata ibunya telah buta. Ada yang mengatakan Uwais menghidap penyakit sopak yang sangat teruk.

Dalam kehidupannya sehari-hari, Uwais Al-Qarni bekerja mencari nafkah dengan menggembalakan kambing-kambing orang pada waktu siang hari. Upah yang diterimanya cukup buat nafkahnya dengan ibunya.



Uwais Al-Qarni terkenal sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya dan juga taat beribadah. Uwais Al-Qarni seringkali melakukan puasa. Bila malam tiba, dia selalu berdoa, memohon petunjuk kepada Allah. Alangkah sedihnya hati Uwais Al-Qarni setiap melihat tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka telah bertemu dengan Nabi Muhammad, sedang ia sendiri belum pernah berjumpa dengan Rasulullah. Berita tentang Perang Uhud yang menyebabkan Nabi Muhammad mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya, telah juga didengar oleh Uwais Al-Qarni. Segera Uwais Al-Qarni mengetuk giginya dengan batu hingga patah. Hal ini dilakukannya sebagai ungkapan rasa cintanya kepada Nabi Muhammmad saw, sekalipun ia belum pernah bertemu dengan beliau.Hari demi hari berlalu, dan kerinduan Uwais Al-Qarni untuk menemui Nabi saw semakin dalam. Hatinya selalu bertanya-tanya, bilakah ia dapat bertemu Nabi Muhammad saw dan memandang wajah beliau dari dekat? Ia rindu mendengar suara Nabi saw, kerinduannya kerana iman.

Tapi bukankah ia mempunyai seorang ibu yang telah tua uzur dan buta, malah pula lumpuh? Bagaimana mungkin ia terpaksa meninggalkannya dalam keadaan yang demikian? Hatinya selalu gelisah. Siang dan malam fikirannya diliputi perasaan rindu memandang wajah nabi Muhammad saw.

Akhirnya, kerinduan kepada Nabi saw yang selama ini dipendamnya tak dapat ditahannya lagi. Pada suatu hari ia datang mendekati ibunya, mengeluarkan isi hatinya dan mohon izin  ibunya agar ia diperkenankan pergi menemui Rasulullah di Madinah. Ibu Uwais Al-Qarni walaupun telah uzur, merasa terharu dengan ketika mendengar permohonan anaknya. Ia memaklumi perasaan Uwais Al-Qarni seraya berkata, “pergilah wahai Uwais, anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah berjumpa dengan Nabi, segeralah engkau kembali pulang.”

Betapa gembiranya hari Uwais Al-Qarni mendengar ucapan ibunya itu. Segera ia berkemas untuk berangkat. Namun, ia tidak lupa menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkannya, serta berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama ia pergi. Sesudah itu, berangkatlah Uwais Al-Qarni menuju Madinah.


Setelah menempuh perjalanan jauh, akhirnya Uwais Al-Qarni sampai juga di kota madinah. Segera ia mencari rumah nabi Muhammad saw. Setelah ia menemukan rumah Nabi, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam, keluarlah seseorang seraya membalas salamnya. Segera saja Uwais Al-Qarni menanyakan Nabi saw yang ingin dijumpainya. Namun ternyata Nabi tidak berada berada dirumahnya, beliau sedang berada di medan pertempuran. Uwais Al-Qarni hanya dapat bertemu dengan  Aisyah r.a, isteri Nabi saw. Betapa kecewanya hati Uwais. Dari jauh ia datang untuk berjumpa langsung dengan Nabi saw, tetapi Nabi saw tidak dapat dijumpainya.

Dalam hati Uwais Al-Qarni bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi saw dari medan perang. Tapi bilakah Nabi pulang? Sedangkan masih terngiang di telinganya pesan ibunya yang sudah tua, agar ia cepat pulang ke Yaman.

Akhirnya, kerana ketaatannya kepada ibunya, Uwais Al-Qarni pun balik pulang ke Yaman.
Peperangan telah usai dan Nabi saw pulang menuju Madinah. Sesampainya di rumah, Nabi saw menanyakan kepada Siti Aisyah ra tentang orang yang mencarinya. Nabi mengatakan bahwa Uwais Al-Qarni anak yang taat kepada ibunya, adalah penghuni langit. Mendengar perkataan Nabi saw, Aisyah r.a dan para sahabat tertegun. Menurut keterangan  Aisyah r.a, memang benar ada yang mencari Nabi saw dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana  ibunya sudah tua dan sakit sehinggakan  ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama. Nabi Muhammad saw melanjutkan keterangannya tentang Uwais Al-Qarni, penghuni langit itu, kepada para sahabatnya., “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah ia mempunyai tanda putih ditengah talapak tangannya.”

Sesudah itu Nabi saw memandang kepada Ali ra dan Umar ra seraya berkata, “Suatu ketika apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”


Pada suatu hari, ibunya menyampaikan hasrat untuk menunaikan haji dan umrah sebelum ibunya meninggal dunia. Uwais Al-Qarni sangat sedih dengan permintaan ibunya memandangkan beliau adalah seorang yang sangat miskin. Lalu, beliau mengumpulkan duitnya dan membeli seekor anak lembu. Setelah itu, tiap-tiap hari beliau mengangkat anak lembu tersebut dengan mendaki bukit dan menuruni bukit tersebut sehinggakan hampir tiba musim haji. Orang ramai yang berada di sekitarnya merasa pelik dan menganggap perbuatannya adalah gila.

Tahukah sahabat2 apakah sebabnya beliau mengangkat anak lembu tersebut?
 Beliau mengangkat anak lembu tersebut adalah sebagai latihan baginya untuk mengangkat ibunya di belakang badannya untuk pergi meredah padang pasir dan jarak jauhnya beribu-ribu kilometer dari Yaman sehinggalah Makkah Al-Mukarramah. Subhanallah. Sungguh mulianya akhlak Uwais dan disebabkan itulah beliau digelar penghuni langit kerana akhlaknya terhadap ibunya. Beliau sanggup berkorban untuk menggembirakan hati ibunya.

Lalu, sampai di Makkah Al-Mukarramah, ibunya menyatakan hasrat kepada Uwais. “Uwais, engkau sungguh baik dan taat kepada ibu, Ibu mahukan engkau pulih dari penyakit sopak yang engkau alami sejak kecil lagi,” kata Ibu Uwais. Maka jawab Uwais terhadap ibunya, “ Wahai Ibu, aku malu hendak meminta pada Allah kerana Allah telah mengurniakan aku sejak aku lahir lagi, siapakah aku mahu meminta agar diubahnya ciptaan Allah kepadaku. Aku merasakan ini satu ujian bagiku dan aku terima dengan redha.”

Setelah sudah menunaikan haji dan umrah ibu Uwais Al-Qarni pun meninggal dunia. Lalu Khalifah Umar r.a dan khalifah Ali r.a datang menjumpai Uwais Al-Qarni seperti yang disuruh Nabi Muhammad saw ketika baginda masih hidup.

Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, khalifah Umar ra dan Ali ra memberi salam. Tapi rupanya Uwais sedang shalat. Setelah mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais menjawab salam khalifah Umar ra dan Ali ra sambil mendekati kedua sahabat Nabi saw ini dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Sewaktu berjabatan, Khalifah Umar ra dengan segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais, seperti yang pernah dikatakan oleh Nabi saw. Memang benar! Tampaklah tanda putih di telapak tangan Uwais Al-Qarni. Lalu, mereka berdua menyatakan hajatnya iaitu istighfar dan keampunan melalui doa Uwais al Qarni kepada Allah swt. Sungguh tinggi darjat Uwais al-Qarni di sisi Allah walaupun ia seorang miskin dan tidak dikenali oleh masyarakat di sekitarnya.



Kesimpulan daripada dua cerita ini adalah untuk kita selalu memohon keampunan dari Allah swt dan selalu beristighfar menginsafi atas segala perbuatan yang kita lakukan sepanjang hidup kita.

Antara istighfar yang kita boleh amalkan iaitu sayyidul istighfar:



Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw ketika 10 malam terakhir?

Secara ringkasnya dari mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a iaitu :
1. Menghidupkan malam dengan qiamulail dan beribadah pada Allah swt
2. Mengejutkan ahli keluarganya agar turut serta menghidupkan malam2 ramadhan
3. Mengikat kainnya iaitu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan tidak menggauli isteri-isterinya.

Moga2 Allah memberi kita petunjuk dan hidayahNya pada kita semua dan peluang kepada kita untuk menghidupkan malam Lailatulqadr..

Wallahua'lam.


Friday, 19 August 2011

Berjinak-jinak dalam penulisan blog, permulaan catatanku..

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين

 Alhamdulillah syukur pada Ilahi yg menciptakanku dengan penuh sempurna tanpa cacat cela. Terasa diri ini sungguh rendah dan dhaif untuk memulakan coretan tulisan di blog yg baru seminggu jagung ini. Sebelum ini, memang di dalam hati teringin hendak berjinak di dalam dunia blog ini cumanya, tidak diberi kekuatan untuk menulis dan masa yang begitu pantas dengan kesibukan harian. Lebih-lebih lagi sebelum ini aku suka membaca tulisan blog2 yang memberi semangat pada diri yang mudah tersungkur dalam kelalaian. Syukur pada Allah kerana menemukan aku keluarga, saudara mara, guru-guru, sahabat2 yang baik-baik serta sentiasa mencari redha Ilahi. 

Hobi Membaca Blog yang Membina..

Baru-baru ini aku diperkenalkan dengan seorang cikgu pada rakanku yg sedang menuntut di PPUKM. Beliau adalah Cikgu Noraidah. Permulaan taarufku dgn Cikgu Noraidah apabila aku selalu membaca komen-komen membina di 'wall facebook' rakanku. Aku suka mendengar nasihatnya dan menjadi hatiku gembira dan tenang tatkala membaca segala komen-komennya. Setelah itu, aku diperkenalkan dengan blognya iaitu 'MENITI KEHIDUPAN'..
Kata-kata serta nasihat-nasihatnya yang dilemparkan melalui penulisannya sungguh terkesan di hati kecil ini. Seringkali dia mengingatkan dirinya agar merefleksi diri kita, Aku suka dengan kata-katanya, " Selalu cikgu pesan dengan anak-anak dan para pelajar cikgu,"Ingat, kesan daripada ibadah kita adalah akhlak kita. Kalau akhlak kita tak baik, itu bermakna ibadah kita tidak membawa 'makna' dan 'terkesan' di dalam diri. Kena muhasabah diri dan buat refleksi diri. Ada yang tak kena tu.." 
Kata-katanya sama seperti cikguku semasa menuntut di SAMBEST dulu. Cikgu yang dimaksudkan Cikgu Zamilah dan Ustazah Rosfa. Dua orang pendidik ini sangat bermakna dalam nota hidupku semasa bergelar pelajar sekolah menengah. InsyaAllah aku tidak akan melupakan saat-saat manis ketika dapat berdamping belajar dengan mereka. Malah, mereka selalu memberi semangat dan nasihat-nasihat yang membina bagiku.

Kesan blog membina pada diri kita dan orang lain... 

Setiap kali aku membaca blog orang di sekitarku aku merasakan ia memberi semangat motivasi padaku. Aku merasakan betapa besarnya pahala mereka menyebarkan da'wah mereka melalui blog-blog mereka dengan sekadar menulis sahaja.Yang paling penting refleksi diri setiap apa yang kita tulis seperti insan-insan yang aku sebutkan sebelum ini. Mereka menulis melalui jiwa mereka kerana mereka mengamalkan apa yang ditutur oleh mereka.

Aku cuba sedaya upaya untuk menjadi seperti mereka dan menjadi lebih baik daripada sebelum-sebelum ni.Moga2 Allah memberi petunjuk padaku sepertimana orang-orang beriman sebelum ini.

Aku cuba ingin menjadi seperti Imam Hassan Al-Basri dimana setiap kali beliau menuturkan sesuatu pada khalayak ramai ketika khutbah Jumaat, beliau akan melakukan terlebih dahulu. Hasilnya?? Selesai memberi khutbah, berbondong-bondong orang melakukan apa yang dituturkan olehnya. 

Aku mengambil satu peristiwa di mana suatu hari jumaat  beliau menyampaikan khutbah tentang bersedekah pada fakir miskin, lalu, selepas itu semua orang menginfakkan harta pada orang-orang miskin sampai tidak ada suatu pun menjadi papa kedana di negerinya. Sampailah satu masa ade seorang hamba abdi datang kepadanya supaya menyuruh Imam Hassan Al-Basri memberi tajuk khutbah 'memerdekakan hamba abdi'. Lalu, hamba abdi tersebut menunggu-nunggu tajuk khutbah yang dimintanya. Tetapi Imam Hassan tidak menyentuh bab memerdekakan hamba abdi. Sehinggalah setahun kemudian barulah beliau menyentuh bab memerdekakan hamba abdi..Apabila ditanyakan kenapa sangat lama tempoh permintaan hamba tersebut kepada beliau, lalu beliau menjawab, " Aku tidak mempunyai wang untuk memerdekakan hamba abdi sebelum aku hendak menyampaikan khutbah tersebut sehinggalah aku mengumpul duit selama setahun barulah aku mampu untuk memerdekakan seorang hamba. Selepas khutbah jumaat bertajuk memerdekakan hamba abdi, ramai orang membeli hamba-hamba abdi dan memerdekakan hamba-hamba abdi tersebut. Subhanallah mulianya akhlak Imam Hassan al-Basri. Moga-moga kita semua boleh menjadi seperti beliau. InsyaAllah.
 
Sekiranya ada salah silap dalam menutur bicara mohon dimaafi dan semua yang baik datang dari Rahmat Allah swt.

Tidak lupa juga terima kasih pada rakanku, Fakhri atas tunjuk ajar untuk memulakan blogku ini...

Moga2 kita mendapat ampunan dan redha Ilahi pada 10 malam ramadhan terakhir.InsyaAllah.

Banyakkan berzikir dan istighfar pada bulan Ramadhan ini. 
Sabda Nabi saw:

اللهم انك عفو  كريم تحب العفو فاعف عنا

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Yang Memberi Ampun dan Engkaulah suka memberi ampun, kerana itulah ampunilah kami, wahai Dzat yang Maha Pemurah. (HR Tirmidzi)

Wallahua'lam.